Menteri Pengangkutan, Anthony Loke malancarkan MyRailLife pas perjalanan tanpa had yang diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah dari tahun satu sehingga tingkatan enam serta golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan MyRailLife pas perjalanan tanpa had yang diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif ini diperkenalkan khusus bagi meringankan beban perjalanan pengangkutan kepada pelajar sekolah dan OKU.

Beliau berkata, MyRailLife ini boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia iaitu pelajar sekolah dari tahun satu sehingga tingkatan enam serta golongan OKU yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kementerian pengangkutan amat komited terhadap agenda kerajaan untuk mengawal kos sara hidup.

“Langkah ini bukan sahaja dapat memanfaatkan pelajar dan golongan OKU, tetapi juga dapat meringankan beban kewangan ibu bapa yang menampung kos pengangkutan anak-anak mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anthony Loke

Katanya, pelaksanaan pas percuma ini dijangka dapat mengurangkan kos pengangkutan kepada 500,000 orang pelajar sekolah dan OKU setahun yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang dan Utara serta perkhidmatan Shuttle Timuran.

“MyRailLife boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan perkhidmatan Shuttle Timuran.

“Bagi KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia terdiri daripada lalulan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang.

“Manakala, bagi perkhidmatan komuter sektor utara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas dan laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth.

“Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran (DMU) ialah bagi sektor laluan Gemas – Tumpat – Gemas,” katanya.

Menurut Anthony Loke, para pelajar sekolah dan OKU boleh mula mendaftar MyRailLife melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB atau di kaunter KTMB yang berhampiran.

“Permohonan pendaftaran boleh dilakukan oleh penumpang atau pihak penumpang dengan mengemukakan dokumen salinan asal my kad, my kid, atau sijil lahir bagi pelajar tahun satu hingga lima, salinan my kad, my kid, atau sijil lahir dan borang pengesahan pelajar dari sekolah (pelajar tingkatan enam) dan salinan my kad, my kid, atau sijil lahir serta kad pendaftaran JKM (OKU).

“Pas hanya boleh digunkan penumpang yang hanya namanya dicatatkan dan tidak boleh dipindah milik,” jelasnya.

Orang kurang upaya, Mohd Shahir Ramli (tengah) bersama pelajar, Muhammad Asyeqq Azh Dzahir Mohd Musharzie (kiri), dan Dhia Adellia Elz Dzahraa Mohd Musharzie menunjukkan pas MyRailLife selepas dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2023.

Tambah Anthony Loke, KTMB menyediakan 10,000 kad komuter link secara percuma untuk pendaftar terawal bagi pengguna baharu dan pemegang kad MyRail5 kepada pengguna OKU dan pelajar di Lembah Klang.

Jelasnya, pas MyRailLife ditanggung penjimatan sebanyak RM4 juta susulan penangguhan tren terminal Skypark Link dari Terminal Skypark, Subang ke KL Sentral kerana kurang mendapat sambutan.

“Sehubungan dengan itu, terdapat lebihan tren atau stokereta sebanyak empat set tren 3-gerabak Electric Multiple Unit (EMU) yang pada masa kini digunakan untuk operasi.

“Satu set tren akan digunakan untuk perkhidmatan KTM komuter di Lembah Klang manakala tiga set tren akan digunakan untuk perkhidmatan KTM komuter Utara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas dan laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, bermula 18 Disember ini, terdapat penambahbaikan jadual waktu kepada perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara laluan Padang Besar ke Butterworth dengan peningkatan kekerapan dari 60 minit ke 20 minit pada waktu puncak pagi dan 60 minit ke 30 minit pada waktu puncak petang.

“Bagi laluan Butterworth ke Padang Besar, jadual perkhidmatan akan ditambah baik dengan kekerapan pada setiap 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang.

“Sementara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas akan turut ditambah baik dengan penambahbaikan kekerapan di ruang luar waktu puncak pada setiap 120 minit berbanding 180 minit kekerapan sebelum ini,” jelasnya.

Ujarnya, inisiatif ini menjadikan jumlah perkhidmatan bagi laluan Pada Besar – Butterworth – Padang Besar meningkat dari 26 trip kepada 36 trip dan laluan Padang Rengas – Butterworth- Padang Rengas dari 12 trip kepada 16 trip sehari.

“Penambahbaikan KTM Utara ini juga dijangka dapat memenuhi keperluan dan permintaan penumpang yang semakin tinggi serta mereka yang menggunakan KTM Komuter Utara untuk berulang alik ke tempat kerja, pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta selain urusan harian,” jelasnya. – MalaysiaGazette