Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada media ketika hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) membolehkan pengguna membuat tuntutan terhadap pihak yang mencemarkan bekalan air.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Azmi Nik Ahmad berkata, pindaan itu akan buat tahun ini.

“Dalam pindaan Akta 655 yang kita hendak bawa pada Jun 2023 antara lain membolehkan syarikat bekalan air malah pengguna untuk menuntut kepada pihak yang menyebabkan pencemaran,” kata Nik Nazmi ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid yang bertanya komitmen kerajaan untuk meminda akta berkenaan.

Beliau menjelaskan,  pindaan itu melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta kepada pihak yang didapati bersalah mencemarkan bekalan air.

Mereka yang terbabit juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun berbanding setahun ketika ini.

Kesalahan baharu turut disenaraikan termasuk perbuatan yang boleh menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan bekalan air kepada pengguna.

Pindaan itu juga membolehkan pemegang lesen perkhidmatan air menuntut semula kos bagi memulihkan sistem bekalan air daripada pihak yang menyebabkan pencemaran air.

Menurut beliau Kementerian juga akan meneruskan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) bagi menangani pencemaran secara berkesan.

Pindaan Fasa 1 melibatkan elemen kompau dan penalti terhadap pelaku yang akan dibentangkan pada suku keempat tahun ini.

Fasa kedua akan melihatkan pakar undang-undang dan alam sekitar serta badan bukan kerajaan.-MalaysiaGazette