Ismail Dollah (tengah) menunjukkan barang-barang rampasan.

Batu Pahat – Sepasang suami isteri dan tiga lagi individu berusia 45 hingga 50 tahun yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah diberkas dalam dua serbuan di Yong Peng pada Isnin dan Selasa lalu.

Dalam serbuan itu, kira-kira enam kilogram methaphetamine bersama 16.77 gram pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM212,045 telah dirampas.

Polis turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai kira-kira RM45,300, selain wang tunai berjumlah RM240,000.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam serbuan pertama kita lakulan di sebuah rumah pasangan itu, polis menemui dadah methaphetamine seberat 311.45 gram dan pil eramine 5 seberat 16.77 gram.

Manakala serbuan kedua di hadapan rumah kedai didiami suspek ketiga, polis  merampas satu beg plastik warna kuning disyaki berisi dadah jenis methaphetamine dengan anggaran berat kira-kira 1.9 kilogram.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah kedai itu turut menemui dadah disyaki methaphetamine dengan anggaran berat kira-kira 4.1 kilogram.

“Ini menjadikan, jumlah keseluruhan rampasan dadah, sitaan kenderan dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM497,345,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Hasil siasatan polis mendapati, dadah itu dipercayai untuk bekalan dari 5,000 hingga 7,600 orang penagih di sekitar Batu Pahat serta sekitarnya.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing suspek pertama dan ketiga didapati positif dadah.

Suspek pertama juga mempunyai 14 rekod lampau kesalahan dadah dan enam rekod kesalahan jenayah.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.- MalaysiaGazette