Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid bercakap pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Jabatan Audit Negara, Putrajaya. foto MUHD NA’IM, 16 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Penangguhan projek monorel dan penyelenggaraan terowong di Putrajaya mengakibatkan berlaku pembaziran dana kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM812.91 juta.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, pembaziran akibat penangguhan projek monorel berjumlah RM797.18 juta manakala pelenggaraan terowong melibatkan RM2.16 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, antara kelemahan lain melibatkan pengurusan pembangunan Putrajaya di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) adalah infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan namun hanya tiga mod yang telah digunakan sepenuhnya.

“Pembangunan infrastruktur bagi mod pengangkutan transit aliran ringan (LRT) atau monorel belum siap sepenuhnya manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan trem belum dibangunkan.

“Penangguhan projek monorel menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai dan merupakan pembaziran sekiranya infrastruktur yang telah dibangunkan tidak dimanfaatkan,” katanya dalam sidang media di Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.

Beliau menambah, penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan didapati tidak selaras dengan pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia yang berkepadatan tinggi.

Bagi mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut, Nik Azman berkata, KWP dan PPj perlu mengkaji semula pelan pembangunan agar dapat diselaraskan dengan konsep pembangunan di pusat pentadbiran negara itu supaya kemudahan infrastruktur yang bersesuaian dapat disediakan dan berfungsi mengikut perancangan.

Menurut beliau, KWP dan PPj juga sewajarnya mewujudkan mekanisme pemantauan melalui jawatankuasa berpusat bagi memastikan penyelarasan perancangan dan pembangunan di Putrajaya adalah lebih cekap sekiranya berlaku perubahan dasar kerajaan.

“KWP, Kementerian Pengangkutan dan PPj perlu menetapkan hala tuju penggunaan infrastruktur yang telah dibangunkan bagi memberi manfaat kepada rakyat dan mengelakkan pembaziran,” jelasnya. – MalaysiaGazette