KUALA LUMPUR – Kumpulan UMW memulakan 2023 dengan penghantaran 28,235 kenderaan, 13% lebih tinggi daripada 24,972 unit yang didaftarkan pada bulan sama tahun lepas.

UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua terus memenuhi tempahan yang menggalakkan.

UMWT bermula 2023 dengan penghantaran 6,786 unit pada Januari.

Syarikat itu merancang untuk meningkatkan pengeluaran untuk pesanan tertunggaknya, terutamanya tempahan yang layak untuk pengecualian cukai jualan, perlu didaftarkan pada 31 Mac ini.

Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross terus menjadi model terlaris untuk bulan Januari 2023.

UMWT menjangkakan permintaan dan jualan dapat dikekalkan sepanjang tahun, disokong oleh pengenalan model baharu dan facelift.

Bagi mengukuhkan lagi buku pesanannya, UMWT menawarkan promosi istimewa serta pilihan pembiayaan Toyota EZ Beli untuk pembelian Vios dan Yaris.

Perodua terus mengekalkan kedudukan utamanya dalam industri automotif Malaysia dengan penghantaran 21,449 unit pada Januari 2023, meningkat 23% berbanding 17,444 unit yang didaftarkan pada Januari 2022.

Syarikat itu kekal komited untuk mengoptimumkan pengeluaran dan menyampaikan pesanan tertunggak dan telah menyasarkan pengeluaran 330,000 kenderaan pada 2023.

Selepas mencapai jualan tahunan tertingginya sebanyak 282,019 unit pada 2022, Perodua telah menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 314,000 unit untuk 2023.

Menurut UMW, pelancaran Perodua Axia 2023 serba baharu dijangkakan pada 14 Februari ini. memacu jualan tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, yakin dengan berhati-hati bahawa industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada tahun 2023.

Keyakinan ini berdasarkan tempahan kukuh yang menggalakkan dan berterusan serta model baharu yang menarik yang akan dilancarkan pada 2023 untuk memenuhi keperluan pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast