KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengesahkan perkara itu berkata, Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebentar tadi.
“Mesyuarat MKT dimulakan dengan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengangkat sumpah sebagai Ahli MKT yang dilantik oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).
“Selamat berkhidmat demi #ABATA, Agama, Bangsa, Tanah Air agar #rakyat #Malaysia maju & sejahtera atas usaha kita bersama,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitternya, hari ini.
Terdahulu, kehadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu di Menara Dato’ Onn, di sini, mencetuskan tanda tanya kepada pengamal media memandangkan beliau sebelum ini tidak mempunyai jawatan dalam kepimpinan tertinggi UMNO.
Tengku Zafrul yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Kota Raja sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan MKT pada pemilihan parti Mac ini. – MalaysiaGazette