KUANTAN- Sebanyak 512 premis telah mendaftar dalam direktori untuk melaksanakan Menu Rahmah secara sukarela di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 18 premis di Pahang.
“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya pengusaha restoran supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan aspirasi ini menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan secara sukarela.
“Inisiatif terbaharu kerajaan menerusi Menu Rahmah ini bagi membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk membeli makanan masak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah,” katanya ketika menghadiri Jelajah Menu RAHMAH di Restoran Taj, Kuantan, Pahang hari ini.
Menu RAHMAH adalah inisiatif yang dipelopori oleh syarikat swasta secara sukarela kerana kKerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, menu, serta lauk yang mesti dijual.
Fuziah berkata, bagi premis yang telah pun menjual sesuatu hidangan atau menu pada harga RM5 atau ke bawah, mereka boleh menjenamakan semula menu itu sebagai Menu Rahmah
Berdasarkan maklum balas daripada peniaga yang telah mengikut serta inisiatif ini, Menu Rahmah telah dijadikan model perniagaan dan bahan promosi untuk menarik pelanggan ke premis mereka.
“Kerajaan amat mengalu-alukan premis yang bersedia mengurangkan harga menu sedia kepada harga Menu Rahmah tanpa mengubah kuantiti dan kualiti hidangan tersebut.
“Dengan itu mereka dapat meningkatkan pendapatan di mana peningkatan kuantiti jualan dapat menampung pengurangan margin dan di masa yang sama bersedekah kepada mereka yang memerlukan,” tambah Fuziah.
Orang ramai boleh melayari direktori Menu Rahmah melalui pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my dan media sosial KPDN Laman Rasmi untuk mengetahui lokasi terlibat. – MalaysiaGazette