Empat warga emas beragama Islam ditahan JAIM di Taman Debunga, Merlimau, Jasin, Melaka ketika sedang leka menulis nombor judi ekor.

JASIN – Ketagih, terpengaruh ajakan rakan seusia dan terdengar bisikan halus supaya membeli nombor ekor antara alasan  empat warga emas ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Mereka ditahan di dua buah premis judi di Jasin dan Melaka Tengah di sini kelmarin.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lebih menyedihkan, ketika ditahan semua lelaki warga emas tempatan berusia 66 dan 71 tahun itu mengaku terjebak dengan judi sejak usia muda iaitu lebih 40 tahun lalu.

Menurutnya, turut ditahan dalam operasi melibatkan enam penguat kuasa JAIM daerah Jasin diketuai Muhamad Hanafi Ismail adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun.

Datuk Che Sukri Che Mat

“Serbuan hasil aduan awam dilakukan di premis judi ekor di Taman Debunga, Merlimau sebelum mendapati tiga lelaki beragama Islam sedang sibuk menulis di atas meja dalam premis.

“Hasil pemeriksaan, ketiga-tiga mereka, dua berumur 66 tahun dan seorang 71 tahun mengaku sedang menulis nombor ekor untuk dibeli dan mula terjebak judi sejak 40 tahun lalu.

“Alasan diberikan adalah terpengaruh ajakan rakan seusia, ketagih selain terdengar bisikan halus supaya membeli nombor ekor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Che Sukri, turut ditahan adalah seorang pekerja kilang papan warga Indonesia dan lelaki itu mengaku ketagihan judi sejak lebih 20 tahun lalu.

Dalam operasi sama, penguat kuasa daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah masing-masing mengeluarkan empat dan satu surat perintah hadir kepada lima individu berusia antara 45 hingga 66 tahun

Semua mereka tambahnya diberikan surat perintah hadir di bawah Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast