KUALA LUMPUR – Pelakon, Hafidz Roshdi yang menjadi bualan hangat apabila dikatakan berlaku curang terhadap isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri dilihat tenang ketika muncul menerusi video siaran langsung di TikTok hari ini.
Menerusi siaran langsung berkenaan, aktor berusia 29 tahun itu memilih untuk tidak menjawab sebarang soalan meskipun diasak pengikutnya.
Hafidz menunjukkan keberanian membuat kemunculan walaupun ada pihak menyebarkan paparan skrin kononnya perbualan dia bersama seorang wanita yang didakwa sebagai punca kekecohan rumah tangganya ketika ini.
Video berkenaan turut menarik lebih 10,000 penonton yang kebanyakan bertanya mengenai tuduhan curang dilakukannya terhadap isteri selain mereka meluahkan rasa tidak puas hati.
Semalam, Hafidz turut muncul menerusi siaran langsung di TikTok miliknya namun tetap membisu ketika netizen menuntut dia membuat penjelasan berhubung khabar angin kecurangan berkenaan.
Malah apabila diminta menunjukkan isterinya, Hafidz hanya memberitahu bahawa Shuhada tidak mengenakan tudung membuatkan dia enggan berkongsi wajah suri hatinya itu.
Sementara itu, menerusi perkongsian menerusi Instagram, tular tangkap layar menunjukkan mesej yang didakwa dihantar Hafidz kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Athira Yuhada.
Wanita yang dipercayai menjadi orang ketiga dalam rumah tangga pasangan itu bagaimanapun telah menyahaktifkan akaun media sosialnya yang membuatkan ramai percaya wanita tersebut ada kaitan dengan pelakon tersebut.
Semalam, tangkap layar skrin Instastory dipercayai milik isterinya yang memberi bayangan aktor itu berlaku curang menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen.
Menerusi tangkap layar yang dikongsi menerusi Instagram menggunakan nama @shushukriii itu dia meluahkan rasa kecewa dan berterima kasih kepada wanita yang didakwa menjadi penyondol dalam rumah tangga mereka. – MalaysiaGazette