Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) minta kerajaan memberi perhatian khusus kepada golongan M40 dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasanya, Faiz Fadzil berharap, bantuan seperti sumbangan tunai cash handout dapat diperluaskan kepada golongan berkenaan dengan beberapa pembaharuan cukai turut diperkenalkan.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk mengkaji semula kumpulan pendapatan isi rumah berdasarkan perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan rakyat, kos sara hidup dan kuasa beli bagi memastikan bantuan kerajaan yang lebih bersasar.

“Golongan M40 sering dianak-tirikan sebelum ini, terutama mereka berpendapatan bawah kadar pendapatan penengah M40.

“Walaupun mereka adalah pembayar cukai yang setia, kita lihat dua kerajaan terdahulu tidak begitu berminat mengurangkan beban golongan ini,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyatakan Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Februari ini.

Faiz percaya kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih prihatin terhadap kesulitan yang dialami golongan berkenaan.

Justerus, katanya, sistem percukaian yang lebih prihatin diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 iaitu potongan kadar cukai yang bermakna, pengecualian cukai atas bonus serta pengenalan kurungan pendapatan yang lebih lebar supaya kadar cukai efektif atas golongan M40 bawahan dapat dikurangkan.

“Tiga kaedah pembaharuan cukai ini dapat menyuntik tunai ke dalam poket rakyat M40 yang memerlukan.

“Bahkan, ramai pakar ekonomi berpendapat kadar cukai atas M40 adalah tidak selari dengan pendapatan mereka dan sepatutnya dikurangkan.

“Pada masa sama, saya melihat keperluan bonus yang diterima rakyat M40 bawahan perlu dikecualikan cukai. Jika ini dilaksanakan ini, kita dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan boleh guna atau kuasa beli, yang seterusnya dapat mewujudkan kesan pengganda untuk ekonomi,” ujar beliau.

Beliau menambah, sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk, Anwar telah melaksanakan pelbagai pembaharuan yang penting.

Momentum itu, ujarnya perlu dipertingkatkan melalui Belanjawan 2023 dengan mengangkat kebajikan golongan M40 terutamanya M40 bawahan. – MalaysiaGazette