Foto Lokman menghadiri mesyuarat UMNO cawangan yang dikongsi di media sosial.

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam yang dibatalkan pemecatan keahlian daripada UMNO semalam memulakan langkah politik dalam parti itu hari ini.

Beliau telah dipilih semula sebagai Ketua UMNO Cawangan bandar Sri Gading dan menghadiri mesyuarat yang diadakan.

“Malam ni kita takda live ya, saya balik Sri Gading menghadiri Mesyuarat Agong UMNO Cawangan Bandar Sri Gading.

“Alhamdulillah, saya kembali sebagai Ketua UMNO Cawangan dan telah dipilih semula untuk mengekalkan jawatan,” kata Lokman ringas di media sosial.

Beliau turut berkongsi beberapa foto mesyuarat serta majlis makan yang diadakan selepas itu.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk membatalkan pemecatan terhadap Lokman.

Kata Lokman, beliau telah dihubungi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan keputusan mesyuarat MKT tersebut.

Sebagai ahli MKT yang menang bertanding, Lokman mendapat kembali haknya di dalam parti dan layak bertanding pada pemilihan akan datang.

Sebelum ini pada 7 Februari 2020, beliau dipecat daripada MKT dipercayai ada kaitan dengan tindakannya mempersoalkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid mengenai kemungkinan UMNO akan bergabung dengan pakatan baharu bersama kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Laskar Siber Malaysia itu tetap lantang mempertahan Umno menerusi siaran langsung di media sosial bagi menjawab persoalan politik di dalam negara.-MalaysiaGazette