Lokman Nor Adam

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi telah membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli parti tersebut.

Lokman menerima maklumat pembatalan berkenaan melalui panggilan telefon daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas beliau, pembatalan berkenaan membolehkan beliau kembali menjadi Ahli MKT UMNO.

Lokman berkata, pembatalan berkenaan juga membolehkan beliau untuk bertanding pada pemilihan UMNO yang sedang berlangsung.

“Alhamdullilah baru terima panggilan daripada Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang memaklumkan bahawa MKT UMNO malam ini telah membatalkan pemecatan saya.

“Dan kini saya kembali sebagai Ahli MKT UMNO. Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

“Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini telah dikembalikan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Beliau turut berkongsi surat pembatalan berkenaan yang bertarikh 16 Februari 2023 dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam surat tersebut dimaklumkan Lokman telah menghantar rayuan untuk membatalkan pemecatan pada 3 Januari lalu.

Lokman telah dipecat daripada UMNO oleh MKT pada 7 Februari 2020.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.- MalaysiaGazette