Varun Kumar dan teman wanitanya Lachhami Devi dibawa anggota polis untuk menghadapi pertuduhan membunuh dan tanam suami kekasih di lereng bukit kerana hubungan sulit terbongkar ketika di Mahkamah Majistret 6, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen bagi kes seorang lelaki warga asing didakwa membunuh suami teman wanitanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Varun Kumar, 30, selepas kertas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Tertuduh yang diwakili peguam, Dr. Pritam Singh Doal tidak dibenarkan ikat jamin oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman kerana kes yang dihadapinya agak berat dan serius.

Dr. Pritam menyatakan, tarikh 14 April ini mahkamah akan memutuskan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Varun bersama teman wanitanya, Lachhami Devi, 23, dituduh menyebabkan kematian suami wanita itu, Arshdeep Singh, 25, pada tengah malam 31 Oktober 2021.

Tertuduh merupakan warganegara India dikatakan mempunyai skandal dengan Lachhami tetapi hubungan mereka disedari mangsa dan dibunuh ketika berada di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya pukul 1.30 pagi.

Mayat mangsa kemudian ditanam di lereng bukit bukit berhampiran tempat kejadian.

Varun bersama Lachhami dibawa ke Mahkamah Majistret 6 di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, diiringi pegawai penyiasat, ASP Eddie Lau Lay Chuong.

Varun Kumar dan teman wanitanya Lachhami Devi dibawa anggota polis untuk menghadapi pertuduhan membunuh dan tanam suami kekasih di lereng bukit kerana hubungan sulit terbongkar ketika di Mahkamah Majistret 6, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 FEBRUARI 2023.

Ketika kertas pertuduhan dibaca, tertuduh mengangguk faham tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana ia hanya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Jika sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis memberkas seorang lelaki warga India disyaki membunuh suami kekasihnya di sebuah banglo di Subang Jaya pada Mei tahun lalu sebelum menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang premis itu.

Suspek ditahan selepas beberapa bulan melakukan pembunuhan itu berikutan polis menerima laporan orang awam pada jam 4.45 petang Khamis lalu, bahawa suspek didakwa mengaku membunuh dan menanam rakan senegaranya yang berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek dikatakan membuat pengakuan itu di Ampang Jaya, sebelum pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, melakukan soal siasat lanjut terhadapnya.

Suspek kemudian menunjukkan lokasi mangsa bunuh itu ditanam pada Mei tahun lalu, iaitu di lereng bukit belakang sebuah banglo di Subang Jaya.

Kejadian bunuh itu disyaki berlaku di banglo berkenaan yang dijadikan pusat jagaan orang tua, dengan mangsa dipercayai dikelar di bahagian leher menggunakan pisau. – MalaysiaGazette