Pemandu Grab dihempap kereta sendiri ketika menukar minyak hitam dan baiki brek kereta sendiri di PPAM Apartmen Presint 5 Putrajaya hari ini. Ihsan IPD Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang pemandu e-hailing maut apabila dihempap kereta sendiri ketika sedang menukar minyak hitam serta brek brek tayar hadapaan.

Insiden menyayat hati itu menimpa Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 30, di tempat letak kereta di kediamannya Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) di Presint 5, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Asmadi berkata, pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari tadi Pusat Kawalan IPD Putrajaya menerima aduan dari pengadu menerusi panggilan MERS memaklumkan seorang lelaki tempatan telah dihempap kereta di parkir Blok B PPAM Presint 5.

“Sejurus tiba di tempat kejadian itu, pemeriksaan mendapati seorang lelaki berada di bawah Perodua Bezza merah disyaki dihempap dan tersepit.

“Pasukan Bomba yang berada di lokasi kejadian lebih awal telah mengangkat kereta itu ke atas dan mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah.

“Pasukan perubatan Hospital Putrajaya dan ambulans yang turut bergegas ke lokasi jam 12.20 tengahari tadi selepas menerima panggilan insiden itu kemudian memeriksa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis telah menghubungi isteri mangsa yang merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kejadian yang menimpa suaminya itu.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya pada jam lebih kurang 1 tengahari tadi dan proses bedah siasat akan dijalankan pagi esok bagi mengetahui punca kematian sebenar,” ujarnya.  – MalaysiaGazette