KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membeban tugas guru.
Sebagai contoh, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik, dan yang seumpamanya.
Dalam kenyataan di sini, KPM berkata, ia merupakan antara tujuh langkah pelaksanaan segera ke arah kesejahteraan guru.
Enam langkah lain ialah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.
KPM juga menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.
Selain itu, pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.
KPM juga mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja.
Ia turut menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.
KPM juga Memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.
Kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024. – MalaysiaGazette