Ahmad Shahir Makhtar.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak sama ada organisasi atau individu yang mengguna pakai logo dan memalsukan dokumen melibatkan MAIS untuk tujuan menyalahi undang-undang dan mengelirukan orang ramai.

Perkara ini susulan siaran media online oleh Media Variasi bertarikh 14 Februari 2023 dan aduan daripada satu syarikat swasta yang melaporkan menerima pesanan pembelian atau purchase order (PO) dan inbois yang menggunakan kepala surat rasmi berlogo MAIS bagi tujuan mendapatkan dana projek pembekalan bantuan bakul makanan (Food Bank).

“Hasil semakan MAIS, kedua-dua dokumen ini didapati palsu. Pihak MAIS tidak terlibat dengan projek pembekalan bakul makanan (Food Bank) serta tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen MAIS untuk projek bantuan yang berkaitan,” kata Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Menurutnya, MAIS amat kesal dan memandang serius insiden pemalsuan dokumen dengan menggunakan logo dan pihak akan melaporkan perkara ini kepada polis agar siasatan dapat dibuat dan tindakan undang-undang yang tegas dapat diambil terhadap pihak yang melakukan jenayah pemalsuan dokumen di bawah seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda.

“MAIS melihat perbuatan pemalsuan dokumen melibatkan MAIS ini adalah suatu jenayah yang serius kerana ia menjejaskan imej MAIS dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam khususnya di Selangor,” kata Ahmad Shahir.

Justeru itu, MAIS menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada dengan penipuan oleh mana-mana pihak yang menggunakan nama MAIS untuk tujuan mendapatkan sumbangan dan apa-apa kepentingan lain.

Jika terdapat perkara yang meragukan, katanya, orang awam
boleh mendapatkan pengesahan daripada MAIS dan merujuk kepada MAIS melalui talian 03- 5515 3400 atau e-melkan terus ke [email protected] MalaysiaGazette