Dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Maarof, Kuala Lumpur. Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Maarof, di sini, semalam

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, pemeriksaan yang dijalankan di premis tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis ganja seberat berat 3,369 gram bernilai RM25,950

“Ujian saringan awal urin mendapati dua suspek positif dadah jenis Cannabis (THC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 6,738 pengguna dadah.

Jelasnya, suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga 24 Februari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952.

Amihizam berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields masih lagi menjalankan
risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rampasan dadah itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette