KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang yang bakal diambil kepada pihak yang mengaitkan beliau dengan rasuah dan salah laku.
“Peguam saya sedang meneliti ke arah itu. Kita tidak berhenti di situ sajalah. Bukan soal itu saja, berkait juga yang lain seperti vaksin (yang dikaitkan dengan saya),” katanya kepada pemberita.
Pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini Muhyiddin menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya susulan tuduhan bahawa beliau terbabit rasuah, khususnya berhubung dakwaan memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan pembabitan Muhyiddin dalam pemberian kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya tidak akan tersebar luas jika ia tidak benar.
Anwar menyifatkan dakwaan tersebut benar, namun menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menentukan sejauh mana pembabitan Muhyiddin dalam penganugerahan kontrak berkenaan.
Anwar berkata, perkara itu dibangkitkan pentadbirannya kerana mahu menghentikan sepenuhnya amalan pemimpin terdahulu yang menggunakan kedudukan bagi mengkayakan keluarga masing-masing. – MalaysiaGazette