Empat suspek penjenayah bertopeng hitam dan berparang menyamun dan mebelasah teruk empat perempuan sekeluarga sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas mereka dalam kejadian tengahari Jumaat di Klang.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu yang dipercaya menyamun sebuah rumah serta memukul seorang mangsa di  Taman Petaling, Klang, semalam.

Dalam kejadian jam 1.25 tengah hari itu suspek turut melarikan wang tunai sebanyak RM4,000 serta barang kemas berjumlah RM20,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati  sekumpulan lima lelaki menaiki kereta Proton Waja warna hijau dengan nombor pendaftaran KBB 967 diletakkan di laluan belakang rumah tersebut.

Tambah beliau, empat suspek bertopeng, bersarung tangan serta berparang telah memasuki ke dalam rumah melalui pintu belakang.

“Semasa kejadian, seramai lima orang ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan empat perempuan dengan lingkungan umur antara 38 hingga 70 tahun berada di dalam rumah tersebut.

“Suspek telah mengikat tangan dan menutup mulut empat orang mangsa wanita itu dengan membawa mereka ke dalam dua buah bilik, manakala seorang lagi mangsa lelaki (bapa empat wanita) tidak diikat dipercayai atas faktor usia.

“Beberapa suspek telah mencederakan salah seorang mangsa perempuan yang berumur 45 tahun dengan cara menendang di bahagian hidung, memukul menggunakan kayu di bahagian badan dan mengetuk kepala mangsa menggunakan bahagian belakang parang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Hoong Fong, akibat dibelasah mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan, kepala dan muka.

Katanya, suspek seterusnya menyelongkar semua bilik di dalam rumah mangsa sebelum mengambil wang tunai kira-kira  RM4,000, pelbagai barang kemas yang dianggarkan bernilai RM20,000.00 serta lima buah telefon bimbit milik mangsa.

“Suspek kemudiannya telah melarikan diri melalui pintu belakang dengan menggunakan kenderaan yang sama,” ujarnya.

Hoong Fong berkata, pihak polis menemui kenderaan yang digunakan oleh suspek di sebuah lorong di Taman Desawan, Klang selepas menerima maklumat mengenainya daripada orang awam.

Namun, kata beliau, suspek telah melarikan diri manakala semakan terhadap nombor pendaftaran kereta itu mendapati ia merupakan nombor palsu.

Menurutnya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan kenderaan suspek menemui beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

Beliau memberitahu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang boleh membawa hukuman penjara selama 20 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu dan suspek diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette