Mohd Agus Yusoff

KUALA LUMPUR – Keputusan Kabinet untuk meminda Perlembagaan berkaitan status anak lahir di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan bukan warganegara disifatkan sebagai human government (kerajaan manusiawi).

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, tindakan itu mengambarkan jemaah menteri mengangkat nilai kemanusiaan.

Tambah beliau, keputusan yang diambil itu menunjukkan Kerajaan Perpaduan memenuhi janji pilihan raya.

Keputusan itu turut memberi kegembiraan kerana anak-anak terbabit yang boleh menikmati kemudahan kerajaan seperti kesihatan dan persekolahan.

“Gembira kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau adalah pemimpin kompeten yang berjiwa besar untuk melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini.

“Gembira kerana ini adalah satu lagi kejayaan terbesar Kerajaan Perpaduan setelah menyelesaikan masalah Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak.

“Saya gembira kerana akhirnya muncul a human government yang memanusiawikan manusia dan mengangkat kemanusiaan,” Mohamad Agus.

Pindaan tersebut turut memenuhi hak terhadap kanak-kanak, menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita dan mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan sebelum ini.

Ia juga menyelesaikan kes-kes tertunggak bagi wanita yang menunggu masa terlalu lama untuk mendapat kelulusan kewargenaraan anak mereka.

“Walaupun cadangan pindaan ini dipersetujui Kabinet, pindaan ini perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan.

“Semoganya MP (ahli Parlimen) menyokong pindaan ini. Dan selepas ini, menyelesaikan pula masalah stateless citizens. One step at a time.

“Setelah melihat usaha Kerajaan Perpaduan ini, saya yakin banyak lagi reformasi positif yang akan dilakukan oleh kerajaan ini. Syabas, Malaysia Madani in action,” katanya.

Jemaah Menteri minggu ini bersetuju dengan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia mendapat kewarganegaraan.

Pindaan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat semasa selepas memenuhi keperluan undang-undang.

Cadangan pindaan Perlembagaan itu adalah untuk menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya”.

Ini bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.- MalaysiaGazette