Gambar fail

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar mencari jalan bagi menangani isu jenayah liwat yang semakin meruncing mutakhir ini.

Pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata kerajaan perlu mengambil langkah mengkaji semula segala penetapan hukuman perilaku jenayah itu.

“Apakah usaha Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah liwat yang dilihat kian meruncing dalam Negara kita khususnya di Negeri Selangor bagi menjamin kesejahteraan dan keselematan kanak-kanak serta masa depan mereka.

“Undang-undang sedia ada berkaitan jenayah liwat perlu dikaji semula dengan menetapkan hukuman lebih berat kepada pelaku liwat khususnya melibatkan kanak-kanak di bawah umur,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

Mengulas lanjut, Mohamad Shafiq berkata, sekiranya langkah itu tidak dikaji semula, maka pelaku akan terus melakukan perkara sama kerana hukuman yang ditetapkan tidak memberikan keinsafan.

“Cuba bayangkan pada 7 November 2022 baru-baru ini seorang lelaki hanya dijatuhkan hukuman lima tahun penjara dan enam sebatan setelah mengaku salah atas tuduhan meliwat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Setelah lima tahun dia akan keluar dan bertemu semula dengan mangsa yang berusia 19 tahun pada ketika itu yang boleh mendatangkan ancaman dan trauma kepada mangsa,” katanya lagi.

Untuk rekod, statistik jenayah liwat dari 2015 hingga 2018 menunjukkan 1,276 kes liwat direkodkan di negara ini.

Negeri Selangor mencatatkan peningkatan kes liwat setiap tahun dimana 2015 (63 kes), 2016 (89 kes), 2017 (87 kes) dan 2018 (102 kes).

Daripada jumlah itu, 646 daripada jumlah kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. – MalaysiaGazette