Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (tengah) bersama Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (empat kanan) menyertai Larian Jubli Perak PTPTN di Anjung Floria, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited dalam dalam menjalankan tanggungjawab melalui penyediaan pinjaman pendidikan, pengurusan bayaran balik pinjaman serta membudayakan sikap menabung dalam kalangan masyarakat.

Ia selaras dengan misi memperkasakan pendidikan tinggi negara ini, kata Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Menurut beliau, usaha berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan atau kemiskinan.

“Bagi tahun 2023, saya optimis PTPTN akan lebih mempamerkan perkhidmatan lebih cemerlang dan terserlah sebagai sebuah institusi penabungan dan pengurus utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Hala tuju ini selari dengan dasar asas dan aspirasi nasional ke arah menjadi negara yang madani,” katanya dalam ucapan Larian Jubli Perak PTPTN 2023 di Anjung Flora Putrajaya pagi tadi.

Ujar Dasuki, pada 1 Julai tahun lalu, genap 25 tahun PTPTN menyumbang jasa dan bakti membina modal insan negara.

Usia berkenaan melambangkan kematangan PTPTN dalam mengharungi cabaran untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, usaha pembudayaan penabungan akan terus dipergiatkan dengan menyebarluas pelbagai keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN seperti perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus komited dalam agenda pendigitalan PTPTN agar kemudahan yang disediakan adalah selari kecanggihan teknologi masa kini serta memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” ujarnya.

Sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan PTPTN di negara ini, pelbagai aktiviti dan program telah diadakan bagi meraikan sambutan tersebut antaranya Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun; Pelancaran Mobile App PTPTN; Pelancaran Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN; Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN yang dilancarkan Perdana Menteri ketika itu; Penerbitan naskhah Memoir 25 Tahun PTPTN dan Tayangan Video Dokumentari Majalah 3 “Payung Harapan”.

Larian Jubli Perak PTPTN yang dianjurkan hari ini merupakan simbolik bagi penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun.

“Penganjuran program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat PTPTN kepada masyarakat dalam membudayakan amalan budaya hidup sihat melalui sukan untuk semua selain menghargai para pelanggan yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada PTPTN,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast