kunjungan Seri Paduka berkenan melawat Pusat Alternatif Bersalin bernilai RM2.92 juta di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bersempena lawatan kerjanya hari ini.- Gambar FB Wan Rosdy.

PULAU TIOMAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bersama Kementerian Kesihatan telah mengambil inisiatif  bagi membina sebuah pusat bersalin di sini seperti cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Nor Azimi Yunus berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan sempena kunjungan Seri Paduka berkenan melawat Pusat Alternatif Bersalin bernilai RM2.92 juta di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bersempena lawatan kerjanya hari ini.

Sebelum itu, Agong dalam lawatannya ke Pulau Tioman pada 29 hingga 31 Disember tahun lalu pernah menitahkan supaya diwujudkan pusat bersalin di kawasan pulau berkenaan.

Menurut Nor Azimi, ia bagi memudahkan penduduk Pulau Tioman untuk bersalin dan tidak perlu bersusah payah ke Rompin atau Mersing.

“Peruntukan yang telah disumbangkan oleh MUIP adalah sebanyak RM2.92 juta di mana RM2.37 juta peruntukan untuk aset dan RM545, 000 bagi peruntukan naik taraf bangunan,” katanya.

Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan adalah meliputi perkhidmatan pesakit luar, kecemasan, kesihatan ibu dan anak serta lain-lain perkhidmatan.

Selain itu, menurut Nor Azimi, terdapat tiga tiga klinik desa di bawah kelolaan Klinik Kesihatan Tekek iaitu Klinik Desa Juara, Klinik Desa Genting dan Klinik Desa Mukut.

“Kedatangan pesakit ke Klinik Kesihatan Tekek adalah seramai 4,580 orang dengan purata seramai 734 orang sebulan sepanjang tahun 2022 di mana 35 peratus terdiri daripada pelancong,” katanya.

Manakala sebanyak 3,092 kedatangan pemeriksaan antenatal di kalangan 50 orang ibu mengandung direkodkan di Pulau Tioman.

Terdahulu pada 4 Disember lalu, MalaysiaGazette melaporkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kemudahan perkhidamatan bersalin ditawarkan kepada penduduk pulau itu.

Untuk rekod, sebanyak 49 kelahiran telah direkodkan namun difahamkan kesemua kelahiran berlaku di luar Pulau Tioman.

Klinik Kesihatan Tekek telah beroperasi sejak tahun 2003 dengan kekuatan sumber manusia terkini adalah seramai 38 orang daripada pelbagai kategori perjawatan.– MalaysiaGazette