Antara gelagat peserta yang menyertai Larian Jubli Perak PTPTN di Anjung Floria, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Seramai 2,500 peserta menjayakan Larian Jubli Perak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang julung kali diadakan di sini hari ini.

Program Larian Jubli Perak PTPTN yang berkonsepkan fun run itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup yang lebih sihat dan larian berorientasi riadah bersama keluarga ini berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya.

Program Larian Jubli Perak PTPTN melibatkan jarak larian sejauh lima kilometer dengan tema ‘Cergas, Cerdas dan Ceria’ menyaksikan masyarakat pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian.

Tema itu dipilih sebagai menyokong konsep kesihatan secara menyeluruh merangkumi kesempurnaan dari aspek fizikal, mental dan sosial.

Larian Jubli Perak PTPTN 2023 yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Perbadanan Putrajaya dan Federal Territory Kuala Lumpur Athletic Association (FTKLAA) merupakan simbolik bagi penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun.

Penganjurannya juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat PTPTN kepada masyarakat dalam membudayakan amalan hidup sihat melalui sukan untuk semua.

Ia juga diadakan sebagai menghargai para pelanggan yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada PTPTN.

Dengan yuran penyertaan serendah RM25 seorang, program ini telah berjaya menarik 2,500 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, dewasa dan warga emas dalam tempoh tiga minggu pendaftaran dibuka.

Program dimulakan dengan aktiviti senaman zumba sebelum pelepasan peserta larian yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal diiringi Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir memeriahkan larian adalah para pengurusan tertinggi KPT, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Pengurusan PTPTN, pihak Institusi Pendidikan Tinggi, pelajar-pelajar IPT, rakan-rakan strategik dan media.

Selain itu, PTPTN turut menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang program Larian Jubli Perak PTPTN itu berlangsung antaranya, acara cabutan hadiah dengan 10 hadiah menarik seperti smart TV, basikal, vakum robot dan running watch serta aktiviti lain termasuk pembukaan booth daripada PTPTN, food truck, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti permainan karnival.

PTPTN yang merupakan agensi di bawah KPT dan peneraju tabung pendidikan utama negara percaya bahawa modal insan yang berkualiti berkait rapat dengan gaya hidup yang positif.

PTPTN yakin sokongan kuat dan berterusan dari masyarakat terhadap program seumpama ini dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang cergas, cerdas dan ceria sekali gus dapat menyemai gaya hidup sihat dan meningkatkan produktiviti negara.- MalaysiaGazette