PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan harapannya agar program yang mengutamakan gaya hidup sihat seperti Larian Jubli Perak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat diteruskan pada masa akan datang.
Timbalan menterinya, Mohammad Yusof Apdal berkata, usaha PTPTN dalam membudayakan sukan melalui penganjuran program larian ini wajar dipuji dan dicontohi oleh agensi-agensi awam dan swasta.
“Justeru, diharapkan program yang mementingkan amalan gaya hidup sihat sebegini dapat diteruskan. Dalam membentuk Malaysia Madani yang menjadi kerangka visi baharu negara, sukan merupakan amalan gaya hidup sihat yang dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Melalui sukan, kita dapat menyemai konsep Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” katanya semasa berucap menyempurnakan serta menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian Jubli Perak PTPTN 2023 di Anjung Flora pagi tadi.
Mohammad Yusof menambah, tempoh 25 tahun bukanlah tempoh masa yang singkat bagi PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah berjaya menongkah arus cabaran dan kekal relevan serta berdaya saing membiayai bantuan kewangan pendidikan tinggi pelajar kurang berkemampuan sehingga ke hari ini.
Beliau memuji pencapaian PTPTN dan berharap kejayaan itu diteruskan selain terus melaksanakan program yang berkonsepkan amalan gaya hidup sihat.
“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), konsep kesihatan dan kecergasan pada masa kini perlu dilihat lebih dinamik dan sentiasa berubah mengikut gaya hidup dan keadaan semasa.
“Bagi membina masyarakat yang benar-benar sihat, masyarakat hendaklah mengutamakan kecergasan dari aspek kesihatan, kecerdasan dari segi pemikiran dan ceria dari segi mental dan emosi dengan menyertai program seumpama ini (larian),” katanya.
Beliau juga teruja apabila difahamkan, Larian Jubli Perak PTPTN telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan berjaya menarik 2,500 peserta dalam tempoh tiga minggu pendaftaran dibuka dengan cabutan hadiah lumayan bernilai RM15,000.
“Ternyata, program larian ini sangat mengujakan masyarakat terutama generasi muda yang sukakan aktiviti riadah dan program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang demi amalan gaya hidup sihat rakyat,” katanya.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada barisan penaja iaitu The Linc Kuala Lumpur selaku penaja lokasi pengambilan kit larian; Nestle Milo;Guardian; Himalaya Sports; Kelapa Laut Afrika;Hospital Islam Az Zahrah; dan Florida’s Natural yang menjayakan program ini dan berharap kerjasama terus diberikan pada masa-masa akan datang.- MalaysiaGazette