Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bermesara dengan seorang kanak-kanak semasa lawatan ke Pulau Tioman hari ini.

PULAU TIOMAN – “Jaga pulau kita baik-baik”.

Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pulang dari Pulau Tioman ke Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.

Seri Paduka mengharapkan penduduk menjaga kebersihan dan keindahan puau itu.

“Rasa gembira dapat jumpa semua (penduduk) di sini bersama kita doakan ya,” titahnya sambil melambai kepada rakyat di perkarangan Padang Terbang Pulau Tioman di sini hari ini.

Penduduk Tioman membalas lambaian itu dan berseloroh agar kehadiran Sultan Pahang itu berkenan kembali lagi ke pulau berkenaan.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang selepas lawatan kerja Seri ke Pulau Tioman selama dua hari yang bermula pada Ahad lalu.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi oleh anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak serta beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri.

Semalam, Seri Paduka berangkat tiba dan memulakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Kampung  Tekek dan meninjau beberapa fasiliti di pusat kesihatan itu pusat kesihatan itu seperti Pusat Alternatif Bersalin dan klinik pergigian.

Baginda turut bercemar duli menyerahkan replika kunci ambulans pacuan empat roda dan diberikan taklimat sesi rawatan kesihatan secara atas talian di kilinik.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya menunaikan solat Zohor secara berjemaah selepas mengurniakan sumbangan Majlis Ugama dan Adat resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 41 penerima di Masjid Kampung Tekek.

Pada penyampaian kurniaan, Seri Paduka diberikan taklimat cadangan pembinaan masjid baru yang menelan kos anggaran RM30 juta.

Selepas itu, Agong mencemar duli memeriahkan jamuan rakyat yang dihadiri lebih 1,000 penduduk tempatan dan pada waktu petang Seri Paduka diiiring barisan pimpinan kerajaan negeri menyertai acara konvoi bermotosikal dari Kampung Tekek ke Kampung Air Batang sebelum singgah minum petang di Dataran Tioman bersama penduduk.

 

Manakala pada hari kedua lawatan kerja, Seri Paduka meninjau proses pembinaan projek menaik taraf Jeti Kampung Tekek dan Jeti Kampung Salai serta menyertai jamuan rakyat bersama hampir 300 penduduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast