Fadhlina Sidek

BANGI – Audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 telah lama dibuat oleh pihak berwajib dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Justeru itu, menurut menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tidak timbul isu integriti kerana rakaman itu dibuat sebelum individu tersebut menjadi TikTokers.

“Kita telah berikan penjelasan yang cukup jelas bahawa proses ini telah dilaksanakan lebih awal dan tidak timbul isu fokus tersebut.

“Integriti ini menjadi isu yang penting sebab itu di Lembaga Peperiksaan kita memastikan isu integriti ini berjalan dengan betul dan ambil kira semua aspek keabsahan, kesahihan dan juga kredibi suara yang direkodkan itu.

“Saya ambil maklum semua aduan tersebut dan kita akan tambah baik dari masa ke semasa. Ini berlaku lama sebelum proses merekod ini jadi proses itu berlaku sebelum soal TikTokers ini lagi,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, awal pagi ini.

Fadhlina berkata demikian mengulas dakwaan berkenaan kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan TikTokers sebagai pelontar suara dalam ujian UMBI SPM 2022 yang tular di media sosial.

Terdahulu, Lembaga Peperiksaan di bawah KPM menafikan penggunaan TikTokers sebagai pelontar suara ujian UMBI dalam peperiksaan SPM 2022 Khamis lalu.

Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan berkata, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri daripada kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

Sebelum ini, calon peperiksaan SPM 2022 meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan ujian itu dan memuat naik video berkenaan ke media sosial.

Malah ada juga yang mengetengahkan kekecewaan mereka kerana pertuturan individu berkenaan tidak jelas dan laju. – MalaysiaGazette