Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan barang rampasan mengenai tangkapan lima ÔDoktorÕ pusat hiburan serta kejayaan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai lebih RM 2.1 Juta selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 FEBRUARI 2023.

SAMBUTAN hari anti dadah yang disambut pada 19 Februari setiap tahun merupakan satu peringatan dan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu bagi membanteras gejala penagihan dadah. Sejak azali, dadah dikenali sebagai musuh nombor satu negara yang membawa kehancuran kepada generasi manusia. Bahkan kempen dan usaha yang dijalankan termasuklah wujudnya pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan yang bekerja keras menjalankan usaha dan fungsi besar meredakan polemik dadah ini. Acapkali slogan ‘Lebih Baik Cegah’ berkumandang tetapi selagi mana setiap individu tiada rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama memastikan gejala dadah ini dibanteras, maka selagi itulah dadah akan terus kekal menetap, menyelinap dan merebak masuk ke dalam ruang sisi kehidupan masyarakat.
Hari ini anda dan keluarga barangkali terselamat kerana tidak terjebak dengan kancah najis dadah, namun adakah ia menjadi jaminan anak generasi pada masa hadapan bebas dari dadah?

Jika ditelusuri, dadah ini adalah bahan yang disalahguna oleh individu bagi mencari keseronokan sementara meskipun berakhir dengan penderitaan yang tidak terduga. Bahan yang asalnya digunakan dalam perubatan untuk memberi manfaat, tetapi berhujung mudarat sekiranya dimanipulasi untuk kepentingan diri. Dadah mengikut takrif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah bahan psikoaktif yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan penggunaannya dilarang. Bahan ini juga boleh menyebabkan pergantungan secara fizikal dan psikologikal serta toleran yang meningkat kepada penggunanya.

Ini menunjukkan penggunaan dadah secara konsisten bukan sahaja menyebabkan pergantungan, malah menyebabkan pengguna ketagih dos yang lebih tinggi dari masa ke semasa untuk mendapatkan kesan yang sama. Implikasi pengambilan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem biologikal diri seseorang seperti kerosakan saraf, hilang kewarasan dan mengundang pelbagai penyakit bahaya, malahan berlaku perubahan tingkah laku seperti menipu, mencuri, kelangsangan sehingga sanggup membunuh untuk mendapatkan wang membeli bahan berkenaan. Dalam konteks yang lebih besar, dadah juga terbukti meruntuhkan institusi keluarga, mengundang perceraian, dan membawa masalah dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan dan sengketa disebabkan kemerosotan ekonomi keluarga dan ketirisan wang asbab kebergantungan terhadap dadah.

Boleh dikatakan individu yang menjadi penagih, pengedar, penjual, pembekal sehinggalah kepada pengeluar dadah ini bersifat ‘mementingkan diri’ tanpa mengira natijah daripada bahan haram yang disalahguna ini kepada individu, masyarakat dan negara. Bahkan dalam agama Islam juga, banyak tegahan mahupun larangan terhadap arak, sesuatu yang memabukkan dan memudaratkan diri. Istilah al-Mukhaddarat dalam Bahasa Arab juga menjelaskan sesuatu yang membawa kepada ketidakwarasan akal dan hilangnya pertimbangan bersabit dengan hukum larangan terhadap dadah dan alkohol.

Hakikatnya, manusia adalah ‘Zoon Politicon’ atau makhluk sosial mengikut pandangan dari Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani. Istilah ‘Zoon Politicon’ bermaksud manusia itu sebagai mahkluk yang pada dasarnya selalu ingin bergaul dan berkumpul dengan manusia lain serta suka hidup bermasyarakat. Oleh yang demikian, manusia dilihat bertanggungjawab terhadap komuniti yang didiami. Dalam konteks yang lebih asas, masyarakat terdiri dari kumpulan institusi keluarga. Justeru, tema “Pencegahan Dadah Bermula dari Rumah” memperlihatkan peranan dan fungsi keluarga adalah signifikan dan amat penting dalam memastikan pendedahan, larangan menjauhi serta keburukan dadah diserap diperingkat akar umbi seawal kanak-kanak lagi.

Ibu dan bapa merupakan sistem sokongan terbesar bagi anak-anak dan mereka perlu mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan ilmu, amal dan praktis yang sihat serta selamat. Terdapat banyak aktiviti pencegahan yang telah dijalankan di pelbagai peringkat oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Antara badan kerajaan yang giat menjalankan aktiviti pencegahan dadah adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Penubuhan Skuad Antidadah yang berperanan untuk menggerakkan aktiviti pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya dadah merupakan salah satu inisiatif bijak dalam membanteras musuh negara ini. Tambahan itu, program-program seperti Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (SMART), Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan (HADK) dan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) juga menjadi wadah berkesan dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bahaya dadah.

Malah, apa yang membanggakan apabila sejumlah 70 peratus daripada 44,754 penagih dadah yang menyertai Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah berjaya dipulihkan daripada kembali terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu. Rentetan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di dalam sidang media Agensi Antidadah Kebangsaan pada Januari yang lepas berkata, kadar kepulihan penagih dadah telah meningkat berbanding hanya 65 peratus yang dicapai pada tahun
sebelumnya.

Malah, Jabatan Penjara Malaysia juga turut mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Program Terapi Gantian Metadone yang mana ia merupakan salah satu kaedah program ‘Harm Reduction’ untuk pengguna opiate yang mengalami masalah ketagihan. Misi program ini dijalankan adalah antara lain untuk mengurangkan kesan-kesan negatif kesihatan yang berpunca daripada perlakuan berisiko tinggi penagihan antaranya berkongsi jarum yang boleh membawa kepada penularan penyakit berjangkit seperti HIV dan hepatitis C. Tidak kurang juga, inisiatif dan usaha Kementerian Pengajian Tinggi melalui dasar penubuhan Pusat Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) di universiti tempatan iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tuntasnya, masyarakat Malaysia haruslah sentiasa berganding bahu dan bekerjasama dalam membanteras gejala dadah ini. Hal ini kerana, ia boleh merosakkan keamanan, keharmonian dan kemajuan negara dan sekiranya ia tidak dikekang sejak awal lagi, negara akan kehilangan golongan muda yang bakal menjadi pewaris dalam menerajui tampuk pemerintahan negara masa hadapan. Adakah kita mahu anak bangsa kita menjadi seperti bangkai bernyawa? Jangan biarkan dadah menjajah kehidupan kita kerana ianya boleh menjejaskan kesejahteraan kehidupan dan kebahagiaan keluarga.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan,
Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Prof Madya Dr Amin Al Haadi Shafie
Penyelaras,
Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast