Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali (Pas) menafikan beliau menganggap Menu Rahmah berkualiti rendah dan mendedahkan rakyat terhadap kanser, autoimmune disease serta autisme.

Dalam masa sama Dr. Halimah mencabar Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan (Pakatan Harapan) supaya menyemak semula Penyata Rasmi Harian (hansard) bagi membuktikan beliau tidak pernah berkata demikian sehingga mencetuskan pertikaian, baru-baru ini.

“Apa yang disebutkan tidak betul, cuba tengok hansard, saya tidak ada sebut Menu Rahmah menyebabkan kanser, cuba tengok hansard. Saya tidak cakap, semak betul-betul, dengar dengan hati yang bersih.

“Jangan sampai terdesak, itu yang saya katakan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh seketika selepas Sany menggesa Halimah menarik semula kenyataannya sebelum ini.

Sany juga menganggap kata-kata Ahli Parlimen Kapar itu sebagai fitnah yang perlu diperbetulkan.

Beliau berkata demikian semasa mencelah sesi perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin.

Ahli Parlimen Parti Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki turut bertikam lidah dengan Sany seketika untuk mempertahankan Dr. Halimah.

Azman semasa perbahasan berkata, inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Menu Rahmah tidak membantu rakyat sepenuhnya khususnya bagi yang berkeluarga besar.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu mengambil satu mekanisme jangka panjang untuk mengawal harga barang keperluan bagi membantu rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Apa yang saya nak tekankan adalah, bagaimana mereka yang berkeluarga besar di luar sana yang mempunyai anak empat hingga lima orang adakah setiap kali makan perlu berbelanja RM60 hingga RM80 sehari (makan di restoran untuk Menu Rahmah)?

“Sudah tentu yang berkeluarga begini perlu membeli barang keperluan basah untuk dimasak bagi menyediakan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette