Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian IRRDB 2023 International Rubber Conference di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Garis Panduan Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) akan memastikan bekalan dari negara ini diperakui dan mematuhi undang-undang sosial dan alam sekitar seperti yang pernah diumumkan pada 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, garis panduan itu termasuk menumpukan idea pendekatan untuk mengangkat pekebun kecil dalam sektor perladangan yang sudah memberi sumbangan kepada negara.

“Cabaran kini, getah misalnya berdepan harga yang tidak menentu. Dengan harga yang begitu rendah, kita melihat bagaimana cara untuk mengatasi supaya dapat mengangkat small holders yang mana memberi sumbangan agak besar kepada negara kita sama ada dalam (industri) kelapa sawit, getah dan juga sektor-sektor perladangan lain.

“Ini salah satu tumpuan pendekatan kita, bukan sahaja melihat kepada sudut ekonomi dan persekitaran tetapi perspektif sosial. 90 peratus daripada mereka adalah di dalam industri pengeluaran getah tempatan,” katanya.

Menurut beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu, MSNR yang diwujudkan bagi mematuhi ketetapan di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Sustainable Development Growth 2030 atau mengenai Pembangunan Mampan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian IRRDB 2023 International Rubber Conference di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2023.

Katanya, salah satu objektif agenda itu ialah untuk merapatkan jurang, membasmi kemiskinan jurang pendapatan serta pembangunan yang lestari dan mampan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Lembaga Pembangunan Penyelidikan Getah Antarabangsa (IRRDB) Persidangan Getah Antarabangsa (IRC) di sini hari ini.

Turut hadir ke persidangan itu Setiausaha Agung Lembaga Getah, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Zairossani Mohd Nor dan kira-kira 200 peserta terdiri daripada penyelidik, penanam getah, pemproses, pengilang, peniaga, pengeksport, penggubal dasar serta pihak berkepentingan industri.

Persidangan  berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 Februari  melibatkan penyertaan daripada 20 buah negara pengeluar dan pengguna getah iaitu Malaysia, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Liberia, Guatamala, Ivory Coast, Cameroon, Cambodia, Papua New Guinea, Brazil, Bangladesh dan Singapura.

Sementara itu Fadillah dalam ucapannya berkata, pengeluaran getah masih menyumbang dengan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara walaupun pada masa ini pengeluaran sumber asli dalam negara semakin berkurangan.

“Pada tahun 2022, eksport industri getah Malaysia berjumlah RM47.6 bilion mewakili 3.1 peratus daripada jumlah pendapatan eksport Malaysia.

“Pada masa ini, Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport terbesar di dunia untuk sarung tangan getah dan menduduki tempat ketujuh sebagai pengeluar getah asli utama,” ujarnya. -MalaysiaGazette