Pasukan SMART, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 13 FEBRUARI 2023.

ANKARA – Turki menamatkan usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi kecuali di dua wilayah, hampir dua minggu selepas gempa bumi besar mengorbankan puluhan ribu orang.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat hanya diteruskan di Hatay dan Kahramanmaras yang menjadi pusat gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 6 Februari lalu.

Harapan untuk mencari mangsa yang masih hidup dalam runtuhan semakin pudar.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken tiba di Turki dan mengumumkan sumbangan kemanusian berjumlah AS$100 juta (£83 juta).

Setakat ini, lebih 44,000 orang disahkan kehilangan nyawa di tenggara Turki dan utara Syria.

Angka kematian dijangka meningkat, dengan kira-kira 345,000 pangsapuri di Turki telah musnah dan ramai orang masih hilang.

Baik Turki mahupun Syria, belum mengumumkan jumlah rasmi mangsa-mangsa yang terlibat.

“Di kebanyakan wilayah, usaha mencari dan menyelamat telah selesai,” kata Ketua Agensi Bencana Turki, Yunus Sezer, kepada pemberita di Ankara.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan di sekitar 40 bangunan di kedua-dua wilayah itu, tetapi beliau menjangkakan jumlah ini akan berkurangan menjelang petang Ahad.

Pekerja penyelamat mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga orang dari runtuhan pada hari Jumaat, lebih 11 hari selepas mereka terperangkap ketika gempa bumi melanda. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast