Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin penggantinya akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan akan membentangkan status projek berkenaan termasuk tindakan terhadap ‘pihak yang bersalah’ dalam projek tersebut.

“Adakah garis masa untuk menyelesaikan kapal LCS pertama dalam setahun dua masih kekal atau sebaliknya? Sama ada pihak yang salah ini akan dan sedang disiasat dan akan dibawa ke muka pengadilan?

“Saya amat yakin Kerajaan Perpaduan khasnya Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Mohamad Hasan akan membentang segalanya berhubung status terkini projek LCS ini,” katanya dalam ucapan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat malam ini.

Hishammuddin berkata, sebelum beliau meletakkan jawatan Menteri Pertahanan dia telah menyelesaikan tiga perkara membabitkan LCS.

“Pertama LCS mesti diteruskan selaras dengan keputusan jemaah menteri ketika itu. Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

“Ketiga pelan mobilasi LCS untuk menghidupkan semula projek ini mesti diteruskan,” katanya.

Menurut Hishammuddin, semua sesi dengan semua pihak termasuk vendor telah selesai dan rundingan dengan pihak bank juga berjalan lancar.

Manakala kontraktor pertahanan dari Perancis Naval Group juga menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan harga dengan pihak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

“Di sebalik perkembangan positif yang saya sebutkan ini kita menetapkan sasaran enam bulan sehingga Disember 2022 lalu bagi membolehkan projek ini dihidupkan semula.

“Kesemua ini dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (ke-15) lagi.

“Untuk mencapai matlamat meletakkan kembali projek ini ke landasan saya akui bukan perkara mudah tapi kita telah melakukan,” kata Hishammuddin.

Justeru beliau bersyukur, pihak yang membangkitkan isu LCS telah menjadi kerajaan dan bersetuju untuk meneruskan projek tersebut.

Hishammuddin berkata, projek itu penting untuk diteruskan kerana ia akan memperkukuhkan pertahanan negara dan pada masa sama membantu 400 vendor tempatan daripada menjadi muflis. – MalaysiaGazette