Nancy Syukri

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu mengemukakan semula kertas cadangan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak yang berfungsi menangani isu jenayah pornografi dan pengabaian kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya pernah mencadangan penubuhan jabatan tersebut namun cadangan itu ditolak dengan alasan ia membabitkan peruntukan kewangan yang besar.

“Bagaimanapun, pada pagi Jumaat ini nanti saya sekali lagi akan kemukakan cadangan dalam mesyuarat Kabinet dengan izin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita akan terus mendesak bagi mewujudkan jabatan ini.

“Cadangan yang dibawa ini adalah holistik serta menyeluruh dan yang penting adalah kita kena usaha sebagai titik permulaan,” selepas melawat Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di sini, hari ini.

Ditanya keperluan menambah baik fasiliti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nancy berkata, terdapat keperluan untuk melakukannya selain menambah pegawai di jabatan tersebut bagi menjaga kanak-kanak.

Tambah Ahli Parlimen Batang Sadong itu, kini pihaknya hanya mempunyai seorang pegawai yang bertugas di JKM untuk menjaga kanak-kanak.

Jelasnya, seorang pegawai JKM itu mempunyai beban kerja tujuh peranan dalam menjaga kanak-kanak dan isu itu perlu ditangani segera.

“Kalau nak kira pegawai JKM jaga kanak-kanak memang tak cukuplah dan kita akan berusaha untuk mendapatkan, sebab itu kita nak wujudkan satu jabatan untuk kanak kanak namun bergantung kepada kelulusan kerajaan, jika tak diberi pun kita akan usahakan dari semasa ke semasa.

“Saya akan mengemukakan kertas cadangan wujudkan jabatan kanak-kanak itu kepada Kabinet sebelum pembentangan Bajet pada pagi Jumaat nanti.

“Yang penting kita diberikan bajet tambahan dalam bajet kali ini termasuk penambahan kakitangan dan pegawai JKM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, beliau mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peralatan yang canggih, terkini serta penambahan kakitangan untuk menangani kes-kes jenayah di bawah D11.

“Kita dapati D11 sendiri memerlukan peralatan komputer terkini dengan data tinggi bagi kes-kes pornografi selain bekerjasama bertukar maklumat dengan pihak berkuasa luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, PDRM bercadang untuk menambah bilangan CIC di Sarawak, Sabah dan Pahang.

Katanya, ini perlu memandangkan keluasan demografi negeri tersebut yang besar bagi memudahkan proses siasatan dan menangani sesuatu kes kanak-kanak secara berkesan.

Kini terdapat 14 CIC di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) di seluruh negara. – MalaysiaGazette