Pengasas produk kecantikan Jennaira, Datuk Azlina Hanim Hassan bercakap kepada pemberita pada sidang media di Subang Bestari, Shah Alam, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

SHAH ALAM – Selepas 10 tahun didakwa diasak dengan pelbagai tohmahan, pengasas produk kecantikan Jennaira, Datuk Azlina Hanim Hassan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas suaminya.

Azlina mahu menyaman bekas suaminya, Rohaizat Musa sebanyak RM10 juta kerana mendakwa memfitnahnya di media sosial selepas mendirikan rumah tangga sejak 2013.

“Dia memalukan saya, menjatuhkan reputasi saya ketika dalam setiap majlis dia (bekas suami) yang mana ada kehadiran media.

“Ada banyak bukti dia fitnah saya termasuk gambar dan penulisan yang disebar melalui media sosial, semua bukti saya masih simpan, tangkap layar mesej aplikasi Whatsapp yang dihantar kepada saya.

“Saman RM10 juta itu nanti akan saya failkan di Mahkamah (Sesyen) Shah Alam dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Subang Bestari hari ini.

Pengasas produk kecantikan Jennaira, Datuk Azlina Hanim Hassan menunjukkan sijil perkahwinan kepada pemberita selepas sidang media di Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Sementara itu, MalaysiaGazette cuba mendapatkan maklum balas kes itu dengan peguam pengasas produk kosmetik itu, bagaimanapun masih gagal kerana dia masih mempunyai urusan di mahkamah. – MalaysiaGazette