Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.- Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Rukun Negara yang menjadi panduan kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini seolah-olah telah diabaikan.

Ahli Parlimen Hulu Hangat (PH), Mohd Sany Hamzan berkata, Rukun Negara tidak lagi diamalkan dan hanya menjadi catatan yang dipamerkan di sekolah dan di belakang buku tulis pelajar.

“Kalau kita nak tengok Rukun Negara sekarang ini yang pertama pergi ke sekolah di dinding ada. Itu pun kadang-kadang cat sudah pudar.

“Yang kedua nak tengok Rukun Negara di buku tulis pelajar sekolah. Yang lain kita tidak nampak di mana berkaitan Rukun Negara ini.

“Setuju tak kalau di pejabat kerajaan, sekolah sebelah gambar agong, permaisuri, sultan, perdana menteri kita letak Rukun Negara,” kata Mohd. Sany dalam Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan Rukun Negara sangat penting dan perlu dihadam oleh rakyat.

Ceramah dan taklimat Rukun Negara perlu dilakukan dan dibahaskan sebagai amalan rakyat negara ini.

Beliau bangun mencelah ketika Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli sedang menyampaikan ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jempol amat setuju Rukun Negara adalah panduan hidup rakyat. Ini sama penting,” kata Shamshulkahar.

Sebelum itu Ahli Parlimen Jempol itu menegaskan setiap warga negara wajib memahami, menghayati dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara untuk menyemai perpaduan.

Menurutnya, Rukun Negara perlu dijadikan panduan hidup masyarakat majmuk bagi menjamin perpaduan dan kerukunan masyarakat di Malaysia

“Teras pentadbiran negara kita, selama ini menekankan kepada perpaduan rakyat, berbilang kaum dan pembangunan negara di seluruh wilayah sejak merdeka,” tegas beliau.-MalaysiaGazette