Temubual SkopMG bersama bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menafikan beliau merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat keputusan untuk menjadi calon Ketua Pergerakan Wanita.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hanya selepas melihat UMNO khususnya wanita memerlukan seorang ketua yang bersemangat dan berpengalaman dalam memimpin ahli-ahlinya.

“Saya tidak merujuk dan tidak mahu kacau presiden. Beliau ada tugas lain dan saya rasa lebih penting daripada saya yang perlu dibuat, mengapa saya nak tanya pendapat beliau untuk kembali atau tidak?

“UMNO ini ada demokrasinya selagi ada pertandingan, sesiapa sahaja boleh bertanding dan tidak perlu rujuk mana-mana pemimpin,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk ‘Saya Diminta Untuk Kembali’.

Pada Jumaat lalu, wakil Shahrizat telah menghantar borang penyertaan untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang kini disandang Datuk Seri Noraini Ahmad.

Shahrizat berkata, tempoh hampir lima tahun bersara itu merupakan masa yang terbaik dimanfaatkan untuk keluarganya.

“Tetapi selepas saya tengok ada sesuatu yang perlu dilakukan, lagi pula ada ramai ketua wanita bahagian yang jumpa saya dan minta saya untuk kembali, saya fikir tamatlah tempoh  bersara dan mahu kembali bekerja.

“Dengan semangat ini dan keyakinan serta pengalaman yang ada, saya akan cuba menjadi yang terbaik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrizat mengakui tidak ada terlintas di hatinya untuk memecahkan perpaduan yang ada dalam parti itu sebaliknya, pertandingan akan lebih mengharmonikan semua ahli.

“Adat pertandingan, ada menang dan kalah. Saya tak perlu risau apa-apa kerana siapalah saya. Menang atau kalah, kami semua tetap bersama dan bersatu untuk memajukan lagi UMNO.

“Ditambah dengan warna merah menyala ini, saya hanya mahu yang terbaik buat parti kesayangan saya,” jelasnya lagi.

Shahrizat akan bertanding bersama penyandangnya Noraini yang serta Naib Ketua Pegerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim juga dilaporkan akan memberi saingan. – MalaysiaGazette