Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan beliau akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu tidak pasti sama ada beliau dipanggil bagi membantu siasatan kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) atau tidak.

Bagaimanapun, menurut Tengku Zafrul, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada suruhanjaya itu untuk membantu siasatan.

“Betul. Saya boleh mengesahkan bahawa saya telah dipanggil oleh SPRM dan saya akan berjumpa dengan SPRM dalam masa terdekat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

“Tidak tahu (ambil keterangan siasatan kes apa), lepas dipanggil SPRM saya boleh makluman kepada semua.

“Bila sudah sahkan tarikh, saya akan beritahu media,” katanya kepada media selepas menghadiri program Sesi Rangkaian Tahun Baharu Cina 2023 MITI dan agensi di kementerian itu, hari ini.

Beliau yang merupakan bekas menteri Kewangan menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan SPRM ke atas Program Jana Wibawa.

Ditanya samada beliau akan dirakamkan keterangan siasatan Jana Wibawa, Tengku Zafrul enggan mengulas lanjut memberitahu: “Tidak tahu, tunggulah, sampai jumpa SPRM baru saya tahu apa isu mengenai siasatan biarlah SPRM buat siasatan,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik Covid-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Dalam laporan Bernama, beliau berkata, penangguhan itu – yang melibatkan projek bernilai RM5.7 bilion – diperlukan kerana terdapat elemen tender terpilih atau rundingan terus dalam proses perolehan.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

Muhyiddin sebelum ini mengesahkan dirinya dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.
Siasatan berhubung kes terbabit dijalankan mengikuti Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette