Seorang lelaki mengambil gambar jalan raya yang menghubungkan Bandar Tumpat ke Pengkalan Kubor terputus akibat dilanda banjir beberapa hari lalu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Taman Sri Bayu, Tumpat, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 05 DISEMBER 2024

TUMPAT – Kelantan mengalami kerugian lebih RM30 juta akibat banjir gelombang pertama yang berlaku pada penghujung November lepas, kata Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan anggaran awal kerosakan harta benda dan infrastruktur termasuk enam atau tujuh sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang terkesan akibat banjir.

“Jumlah kerugian mungkin akan meningkat kerana kita belum selesai mengambil data-data daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan musibah bencana ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Penerimaan dan Bantuan daripada Felda Global Ventures (FGV) Holding Berhad di Pantai Sri Tujoh, di sini hari ini.

Beliau berkata selain kerosakan harta benda dan infrastruktur, 207 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah YIK turut terkesan akibat banjir itu.

“Kesemua pelajar ini menduduki peperiksaan di sekolah berhampiran kawasan mereka dan tidak terkesan banjir yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan YIK. Alhamdulillah, kita mendapat maklumat kesemua calon SPM di negeri ini dapat menjalani peperiksaan SPM dengan lancar walaupun terkesan banjir,” katanya.

Sementara itu, Wan Roslan meminta pelajar Kelantan yang sedang menuntut di Syria sentiasa mematuhi arahan daripada pihak kedutaan Malaysia di negara itu, walaupun Wisma Putra melaporkan mereka berada dalam keadaan selamat. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast