KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meneruskan usaha Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Muhammad Aslahuddin Abas (Mersing – PN) berkata, polisi kerajaan terdahulu itu wajar diteruskan kerana ia bakal memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan supaya kerajaan meneruskan projek-projek yang telah diumumkan oleh kerajaan terdahulu demi pembangunan dan kemajuan masyarakat luar bandar.

“Kerajaan wajar meneruskan kesinambungan polisi kerajaan terdahulu yang memberi manfaat seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 malah kerajaan juga sewajarnya meneruskan projek-projek pembangunan baik yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

“Ini bagi memastikan masyarakat di luar bandar khasnya dapat merasa manfaat yang sama dan tidak ketinggalan dari aspek pembangunan,” katanya ketika sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja dalam Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Muhamad Aslahuddin turut mencadangkan supaya kerajaan menambak Batuan Tengah bagi menambah nilai strategiknya. – MalaysiaGazette