zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim menghantar surat rayuan kepada UMNO Malaysia untuk memberi kelonggaran syarat kepadanya bagi membolehkan beliau bertanding dalam pemilihan parti 2023.

Dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette petang ini, bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu berhasrat bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, surat rayuan itu dihantar melalui e-mel kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

“Saya difahamkan, seseorang ahli itu hanya layak bertanding setelah dua tahun menjadi ahli biasa UMNO. Dalam hal ini, saya merayu kepada Dato Seri untuk mengiktiraf masa saya menjadi ahli UMNO selama 15 tahun sejak tahun 1986 iaitu sebelum dipecat tanpa apa-apa sebab yang munasabah 14 tahun dahulu.

“Ini adalah masa yang cukup untuk saya bertanding jawatan MKT UMNO walaupun saya diterima masuk sebagai ahli baharu pada September 2022,” katanya.

Menurut Zaid, beliau memang berhasrat untuk bertanding tetapi beberapa syarat yang terkandung dalam perlembagaan parti tidak membolehkannya berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, Datuk Lokman Adam yang pernah dipecat diterima sebagai Ahli MKT.

“Saya juga difaahamkan bahawa Lokman Adam diterima balik sebagai Ahli MKT baru-baru ini dengan cara reinstatement iaitu tidak mengambil kira hakikat dia dipecat.

“Jika perkiraan yang sama digunapakai dalam kes saya, maka pemecatan saya tahun 2008 itu dikira batal dan saya telah di reinstatement baru-baru ini serta membolehkan saya bertanding MKT.

“UMNO mempunyai banyak cabaran dewasa ini dan memerlukan seluruh tenaga serta sokongan padu ahlinya,” katanya.

Beliau yakin dengan pengalaman dan sifatnya  yang berani serta ikhlas, dapat membantu dan memastikan kepimpinanan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membawa parti terus maju pada tahap yang optimum. – MalaysiaGazette