Sejak hampir 12 tahun lalu, berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri ke utara negara itu bagi mengelak menjadi mangsa kekejaman Bashar
Penduduk sekitar melihat rumah yang ranap akibat gempa bumi yang melanda di Harem, Idlib, Syria. Foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2023.

ISTANBUL (Turkiye)-Banyak pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) yang sekian lama bergerak membantu mangsa konflik di Syria terkejut dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi di Syria melalui Presiden Bashar al Assad.

Ia menimbulkan tanda tanya terhadap pendirian sebenar pentadbiran beliau berhubung isu kemanusiaan sejagat.

Seperti yang dipetik melalui hantaran di Facebooknya, beliau berkata amat terkesan dengan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa gempa bumi di negara itu  telah menghantar 42 tan lagi barangan bantuan kemanusiaan pada minggu ini hasil kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

Namun, realiti yang perlu difahami penghantaran berkenaan tidak memberi apa-apa makna kepada berjuta-juta rakyat negara itu yang menjadi mangsa bencana yang berada di Idlib, utara Aleppo seperti Afrin dan Hama yang selama ini diperangi rejim Bashar sejak hampir 12 tahun lalu.

Kekejaman yang dilakukan Damsyik terhadap rakyat sendiri bukan lagi menjadi sisi terpencil, bahkan satu dunia pernah mengutuk kejahatan yang melakukan pelbagai jenis pembantaian besar-besaran termasuk menggunakan senjata kimia untuk melakukan pembunuhan besar-besaran seperti pembantaian ke atas penduduk Ghouta pada awal pagi 21 Ogos 2013 yang mengorban hampir 1,800 nyawa.

Serangan yang dikatakan menggunakan gas sarin disifatkan paling dasyat sejak Perang Iran-Iraq.

Sehingga saat ini, pembantaian terhadap rakyat sendiri tidak pernah tamat sejak ia bermula pada 2011.

Sama ada berskala besar atau kecil, ia sentiasa ada sehingga apa yang berlaku disifatkan konflik kemanusiaan paling buruk pada abad ini!

Sebab itu ketika gegaran kuat pada 6 Februari lalu, salah seorang mangsa yang ditemui penulis bersama anggota misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria, di Harem, Idlib, Mustafa Zuhair Al Sayed tidak menyangka ia akibat gempa kerana telah terbiasa dengan ancaman dan serangan rejim Bashar al Assad.

“Pada mulanya, kami sangka ia serangan udara, pengeboman dan bedilan dari udara. Kami biasa dengan serangan begini. Bagi saya sendiri, ini adalah kali kedua saya alami situasi merangkak keluar dari runtuhan,” katanya.

Menerusi laporan yang disediakan Global Centre for The Responsibility to Protect (globalr2p), ngo antarabangsa telah mendokumenkan sejak konflik bermula sehingga awal tahun ini, sekurang-kurangnya 580,000 nyawa terkorban di mana sebahagian besarnya angkara dibunuh rejim Bashar yang didokong Rusia.

Sepanjang tempoh itu juga, 13 juta terpaksa menjadi pelarian dan 6.7 juta berada di luar manakala selebihnya terpaksa bertahan di utara negara itu, yang kini sedang diuji dengan satu lagi bencana iaitu gempa bumi.

Atas fakta ini, berapa banyak sekalipun sumbangan yang disalurkan kerajaan melalui pentadbiran Damsyik, ia tidak akan memberi sebarang makna kepada mangsa konflik yang berada di utara negara itu yang secara terang-terangan dimusuhi kerajaan sendiri.

Bahkan dua minggu lepas, rejim Bashar telah dipujuk supaya membuka dua lagi laluan yang bersempadan dengan Turki bagi membolehkan bantuan masyarakat antarabanga sampai, namun ia berakhir dengan kegagalan.

Wal hal, kawasan berkenaan khususnya di bahagian utara paling teruk terkesan dengan bencana yang berlaku.

Ketika ini, bagi membantu mangsa gempa di kawasan berkenaan, penyaluran dibuat melalui sempadan Turki menerusi pintu masuk yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan seperti Bab al Hawa dan Azaz.

Namun, berdasarkan skala kemusnahan yang dasyat ditambah dengan kesan perang saudara yang berlarutan, keadaan amat terdesak.

Kenyataan yang perlu diterima, kita telah terlalu lambat bertindak untuk membantu menyelamat ribuan nyawa yang mati tertimbus tetapi belum terlewat meringankan beban jutaan mereka yang terkesan.

Memasuki minggu ketiga lebih 4,400 nyawa dilaporkan terkorban namun ia dijangka bertambah kerana.

Usaha mengesan dan mencari mayat yang terperangkap di bawah sisa runtuhan begitu perlahan kerana kerana macam-macam kekangan, khususnya peralatan dan kepakaran.

Perkara yang diberi keutamaan ketika ini adalah kelangsungan hidup mangsa bencana serta penyelesaian konflik.

Berdasarkan situasi semasa, kerajaan perlu juga memikirkan bantuan di bahagian utara dan melakukan sesuatu untuk menghentikan pertumpahan darah yang berlaku.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. anwar tidak mendapat nasihat yang betul. mungkin ada orang yang sekolahkan nya kembali. cerdik mana pun kena lah ada penasihat sebab satu otak tak cukup sempurna untok sedikit urusan dunia

Comments are closed.