KUALA LUMPUR — Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa partinya menjadi sasaran ‘pendakwaan terpilih’ berikutan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Wan Saiful yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa atas dakwaan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta membabitkan rundingan projek Central Spine Road dari Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta

Menurut Muhyiddin, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti dan sumbangan itu diterima daripada ahli dan syarikat korporat.

“Setakat ini tiada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.

“Hari ini, parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih – menerima sumbangan dana politik tiba-tiba telah menjadi satu kesalahan jenayah.

“Beberapa orang pemimpin Bersatu telah didakwa di Mahkamah kerana menerima sumbangan dana untuk menjalankan aktiviti parti,” katanya kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti politik dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga menerima sumbangan serupa tetapi tidak pernah didakwa di mahkamah.

Tegas beliau, sumbangan yang diterima partinya adalah daripada sumber yang sah, dan tidak menyalahi undang-undang.

“Bersatu sebenarnya telah menjangkakan ini yang akan dilakukan kerajaan PH dan BN untuk melumpuhkan Bersatu setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan PN semakin kuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu,” ujarnya.

1 Komen

  1. Pendakwaan terpilih konon. Yang kau rancang kenakan UMNON kau tak ingat. Sekarang kau rasakan ALLAH bagi cash. Tunggu giliran banyak lagi yang belum selesai. Beri peluang Jabatan Penjara ubahsuai bloknya kerana ramai lagi nak masuk.

Comments are closed.