Bekas Pengurus pemasaran universiti swasta ditahan bersama isterinya kerana mengemukakan tuntutan palsu komisen merekrut pelajar sekolah ke universiti swasta.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu hampir RM2 juta bagi bayaran komisen merekrut pelajar sekolah melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta.

Sumber berkata, suspek lelaki yang juga seorang bekas pengurus pemasaran universiti berkenaan dipercayai bersubahat dengan isterinya yang juga merupakan suri rumah untuk mengemukakan tuntutan palsu itu di antara 2015 hingga 2020.

“Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 11 pagi, manakala isterinya ditahan kira-kira 11.30 pagi ketika kedua-dua mereka hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

“Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang meneliti permohonan SPRM telah membenarkan pasangan itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari ini untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi telah mengesahkan mengenai tangkapan serta tahanan reman yang diperolehi ke atas kedua-dua individu itu.

“Pasangan itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009,” ujarnya. – MalaysiaGazette