Dr Halimah Ali. foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii (PH) mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali (PN) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan kenyataannya yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kenyataan Halimah pada 14 Februari lalu berkenaan Menu Rahmah dan kaitannya dengan autisme sebagai menghina Parlimen dan dalam masa sama ia mencetuskan salah faham dalam kalangan komuniti autisme dan masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU).

Tambah beliau, Penyata Rasmi Harian (hansard) bagi membuktikan kenyataan Halimah itu turut dikemukakan kepada Pejabat Speaker.

“Kenyatan tersebut tidak benar dan tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja tidak berdasarkan fakta tetapi lebih lagi boleh mengakibatkan stigma, salah faham kepada komuniti autisme dan masyarakat OKU.

“Sebenarnya banyak peluang untuk Ahli Parlimen Kapar menarik balik dan minta maaf tapi semalam beliau sekali lagi berkata tidak keluarkan kenyataan dan meminta kita (Ahli Dewan) merujuk hansard.

“Jadi saya menyertakan bukti hansard MP Kapar untuk Speaker mengeluarkan. Mungkin jika Ahli Parlimen Kapar sanggup tarik balik dan minta maaf kepada kita dan semua komuniti yang terkesan dan rakyat yang dikatakan dikelirukan. Saya mohon ruling,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tindakan Kelvin mencetuskan kekecohan apabila Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki berdiri mempertahankan Halimah.

Semalam, Halimah menafikan beliau menganggap Menu Rahmah berkualiti rendah dan mendedahkan rakyat terhadap kanser, autoimmune disease serta autisme.

Beliau turut mencabar Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan (Pakatan Harapan) yang mempertikaikan kenyataannya supaya menyemak semula hansard bagi membuktikan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Sementara itu, Speaker, Datuk Johari Abdul berkata beliau perlu mengkaji hansard yang dikemukakan kepadanya terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya akan lihat hansard dan kaji, esok saya akan buat ruling sama ada panggil Kapar atau tidak,” ujarnya. – MalaysiaGazette