KUALA LUMPUR – Hasrat sepasang suami isteri untuk memiliki tanah sendiri bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka mengalami kerugian sebanyak RM140,000 selepas ditipu dalam penjualan skim tanah lot dikenali Lot Lidi oleh individu bergelar ‘Datuk’.
Mangsa, Azlan (bukan nama sebenar) berkata, peristiwa malang itu bermula pada tahun 2017 selepas ternampak iklan penjualan tanah lot tersebut di tepi jalan di Jenderam, Sepang dan menghubungi nombor yang terpapar.
Pesara swasta itu berkata, selepas berpuas hati apabila meninjau tanah tersebut, beliau bersetuju membeli dua tanah lot oleh seorang individu yang merupakan pengarah sebuah syarikat sendirian berhad.
“Individu tersebut memberitahu beliau adalah pemilik lot tanah tersebut dan syarikatnya akan bertindak sebagai pengurus yang menguruskan proses jual beli lot tanah tersebut.
“Individu tersebut dan syarikat itu seterusnya menyatakan mereka telah melantik peguamcara yang akan menguruskan proses dokumentasi dan juga pendaftaran milik bagi hartanah tersebut setelah saya dan isteri membuat bayaran penuh sebanyak RM140,000 menggunakan wang hasil simpanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media anjuran Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim.
Mengulas lanjut, Azlan, 60, berkata, pada 2019, nama beliau dan isteri masih lagi tidak didaftarkan sebagai pemilik lot tanah tersebut walaupun telah beberapa kali berjumpa dan berbincang dengan pengarah syarikat tersebut untuk mengetahui perkembangan berkenaan proses jual beli tanah tersebut.
Jelas beliau, pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak syarikat sebelum pejabat mereka di Shah Alam ditutup dan nombor telefon individu itu tidak boleh dihubungi lagi.
“Kami menjadi buntu selepas itu malah ketika urusan proses pembelian itu, terdapat seramai 50 pembeli lagi yang turut terlibat membeli tanah lot itu.
“Justeru kami berharap MCCC melalui perkhidmatan bantuan guaman yang disediakan melalui panel peguamnya dapat membantu kami dengan mengetengahkan agar semua pembeli mendapat perhatian pihak berwajib dan pada masa yang sama juga agar dalang kes penipuan ini dapat dikenakan tindakan undang-undang agar nasib kami dapat dibela sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette