KUANTAN – Sempena sambutan ulang tahun kedua Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), warga daerah ini berpeluang menyelusuri Sungai Kuantan dengan menaiki bot pelayaran secara percuma selama seminggu.
Datuk Bandar, Datuk Hamdan Husin berkata, tiket secara percuma itu diberikan bermula hari ini sehingga 27 Februari 2023 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat di daerah ini, di samping mempromosi aktiviti pelancongan yang dijenamakan semula.
“Tiket percuma ini diberikan kepada masyarakat Kuantan, mereka hanya perlu membawa MyKad dan resit cukai taksiran (cukai pintu) yang telah dilunaskan.
“Orang ramai boleh mengikuti Facebook Kuantan River Adventures untuk membuat tempahan awal melalui atas talian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Menurut Hamdan, tawaran percuma ini juga diberikan kepada lima penumpang melalui satu resit bayaran dan hanya boleh digunakan sekali perjalanan sahaja.
Setiap bot mampu memuatkan 40 pelancong dan para penumpang akan berlepas dari Jeti Shahbandar dibekalkan jaket keselamatan, selain diberikan sesi taklimat oleh pemandu pelancong.
Perjalanan mengambil masa 90 minit pergi dan balik.
Sebanyak empat perjalanan diadakan bermula pukul 10 pagi, 12 tengah hari, 2 dan 4 petang.
“Jika bernasib baik, pelancong boleh melihat kelibat buaya tersadai tepi sungai dan haiwan lain seperti memerang dan burung helang.
“Para penumpang berpeluang menikmati pemandangan menarik sepanjang sungai dan berpeluang melawat lokasi kelip-kelip, hutan kayu bakau dan melihat aktiviti perikanan di sana selain daripada pembuatan bot nelayan menggunakan kayu cengal,” katanya.
Selepas promosi tamat, tiket ditawarkan dengan harga RM25 bagi dewasa manakala RM15 untuk kanak-kanak dan dibuka kunjungan pada waktu malam.
Sementara itu, Hamdan memberi penghargaan kepada kelahiran baharu buat semua warga keluarga besar MBK sebagai menghargai tarikh 21 Februari sebagai hari ulang tahun sambutan bandaraya ini.
Bayi bertuah yang dilahirkan pada 21 Februari 2023 merupakan anak kepada pasangan Dr. Auji Afti Bakhtiar Afendy dan Dr. Nur Diyana Syamila Hishamudin.
Bayi perempuan Yara Aisha dilahirkan pada hari ini, 21 Februari di Kuantan Medical Centre (KMC) itu ialah cucu pertama kepada kakitangan MBK yang perupakan Pegawai Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal.
“Sempena 21 Februari ini, sumbangan penghargaan hamper akan diberikan kepada warga MBK yang menyambut kelahiran baru.
“Tarikh ini sangat penting dan kami kongsikan dengan warga kerja, kerana menghargai setiap kakitangan kami. – MalaysiaGazette