Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina menjadi kaum paling sedikit membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas kerajaan memberi kebenaran sebanyak empat kali.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada April 2020 iaitu sebelum kebenaran diberikan, simpanan median kaum Cina sebanyak RM45,756.

Pada Disember 2022 jumlah simpanan media kaum itu turun kepada RM45,162 iaitu merosot hanya RM5,094.

Ini berbeza dengan kaum lain iaitu Melayu, bumiputera lain dan India.

“Melayu pada April 2020 median simpanan RM16,938 pada Disember 2022 median simpanan tinggal RM5,529 iaitu turun sebanyak RM11,409,” kata Ahmad.

Bumiputera lain sebelum April 2020 sebanyak RM10,591 merosot kepada RM3,302 iaitu turun RM7,289.

Manakala kaum India sebelum April 202O  sebanyak RM25,724 merosot RM14,929 pada Disember 2022 iaitu penurunan RM10,795.

Menurut Ahmad Maslan, seramai 5.2 juta ahli KWSP merupakan kumpulan B40. Sebelum April 2020 jumlah simpanan mereka RM13 bilion turun 46 peratus kepada RM7 bilion.

Seramai 5.2 juta ahli yang merupakan golongan M40 turut mencatatkan penurunan simpanan iaitu RM191 bilion sebelum April 2020 kepada RM138 bilion pada Disember 2022.

Namun kumpulan T20 seramai 2.6 juta pencarum mencatatkan peningkatan 11 peratus iaitu RM538 bilion sebelum April 2020 kepada RM597 bilion pada 31 Disember 2022.

Tambah Ahmad, setakat 31 Disember 2022 peratusan ahli aktif berumur 55 ke bawah yang mencapai simpanan asas mengikut umur adalah sebanyak 29 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa 71 peratus ahli berumur 55 tahun ke bawah berada dalam serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

“Ahli KWSP yang telah mencarum selama 20 tahun atau 25 tahun paras simpanan mereka menurun amat membimbangkan.

“Seramai 1.7 juta pada 31 Disember 2022 atau 36 peratus yang berumur 40 hingga 54 hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000. Dengan simpanan tahap begini kumpulan ini terdedah kepada risiko kemiskinan pada hari tua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi menteri menjawab ke atas perbahasan usul menjunjung kasih atas titan diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata, kajian Wellbeing Research Centre menunjukkan perbelanjaan minimun untuk seorang individu warga emas di Lembah Kelang adalah sebanyak RM2,520 sebulan.

Bagi mendapatkan jumlah perbelanjaan itu seorang pesara memerlukan jumlah simpanan minimum RM600,000 bagi menampung persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun bagi umur 55 hingga 75 tahun.

“Umur purata semakin baik 74 tahun. Bayangkan pencen simpanan amat terlalu sedikit,” katanya sambil menambah disebabkan faktor itu kerajaan mengambil keputusan tidak membenarkan pengeluaran KWSP. – MalaysiaGazette