KUALA LUMPUR – Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyasarkan untuk meraih kedudukan tiga terbaik dalam saingan liga bagi musim 2023 ini.
Pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mahu pasukannya itu dapat mara sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi saingan Piala FA dan juga Piala Malaysia.
“Bagi Piala Malaysia, kita ada strategi untuk meletakkan lebih pemain muda supaya mereka mendapat minit dan pengalaman. Jadi kita boleh beri fokus dengan agenda yang lain.
“(Piala Malaysia) dapat masuk suku akhir ataupun separuh akhir dengan barisan kami (pemain) yang muda muda,” kata Tunku Ismail menerusi klip video di Johor Southern Tigers semalam.
Sementara itu, Tunku Ismail juga menyasarkan skuad bimbingan Esteban Solari itu supaya dapat melepasi peringkat kumpulan bagi saingan Liga Juara Juara Asia (ACL).
“Saya tetap realistik dalam sasaran untuk ACL kerana dengan kualiti pasukan lain yang bertanding dan mereka sudah dibentuk lebih lama daripada kita.
“Kami tetap projek yang lebih baru dan sasaran realistik adalah melepasi peringkat kumpulan atau ada rezeki, masuk ke suku akhir,” katanya.
Sebagai rekod, JDT mencipta sejarah sebagai pasukan dari Malaysia pertama mara ke peringkat kalah mati apabila mengungguli Kumpulan I bagi saingan ACL musim 2022.
Mereka menamatkan saingan selaku juara dalam kumpulan yang turut dihuni Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou Evergrande. – MalaysiaGazette