Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli -Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Rosol Wahid  (Hulu Terengganu- PN) ditempelak kerana didakwa memutarbelit kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung subsidi telur.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kemahiran putar belit tersebut bagus namun boleh berbalik kepada diri sendiri.

“Kemahiran memutar belit itu bagus tapi dalam zaman sekarang kalau tidak kena akan datang balik. Macam bola tanggung seperti Hulu Terengganu cakap tadi.

“Hulu Terengganu nampaknya tidak faham apa yang disebut oleh Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu) dan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saya.

“Bezanya semasa Hulu Terengganu dalam kerajaan yang diusahakan hanyalah kawalan harga semata-mata daripada sasaran awal kerana tak ada usaha tambah sumber baru.

“Sebab itu yang dari dua bulan, tiga bulan sampai setahun sehingga beri kesan kepada perbekalan ayam dan telur.

“Yang telah diusahakan dalam sekitar enam bulan daripada sekarang, unjuran kerajaan bahawa sumber permintaan dan perbekalan ayam dan telur akan stabil. Itu membolehkan kita tidak lagi memerlukan subsidi dalam tempoh akan datang,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Rafizi turut membidas pembangkang  yang ‘bersorak’ dengan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini iaitu ‘bila tiada ayam jangan makan ayam’.

“Itu hak pembangkang untuk memutar belit kerana mereka tidak sedar dalam mereka memainkan isu itu inisatif Menu Rahmah yang diusahakan kerajaan yang meletakkan harga makanan siap pada harga RM5 membuktikan perkara itu boleh berlaku.

“Maksudnya tidak ada subsidi, tidak ada bantuan daripada kerajaan tetapi apabila peniaga menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga makanan siap perkara itu disabut oleh peniaga tanpa satu sen pun dana kerajaan

“Setiap minggu lebih ramai peniaga menawarkan menu RM5 di seluruh negara kerana mereka sedar walaupun margin lebih kecil dengan pelanggan lebih ramai mereka mendapat keuntungan,” kata Rafizi.

Sesi penggulungan itu juga tegang seketika selepas Rafizi menuduh Datuk Idris Ahmad (Bagai Serai-PN) boleh menyelesaikan masalah dalam seminggu selepas menjadi kerajaan.

Idris menafikan dakwaan Rafizi dan mendakwa beliau tidak pernah berbahas mengenai perkara ekonomi.

Sementara itu, menurut Rafizi, kerajaan akan melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat Ahad ini.

Melalui inisiatif itu makanan siap bagi menu utama sarapan dan makanan tengah hari akan diturunkan kepada RM2.

Rafizi berkata, dengan banyak tawaran pada harga rendah membolehkan permintaan dan pasaran sama-sama turunkan harga pasaran tanpa subsidi daripada kerajaan.- MalaysiaGazette