GOMBAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau dan Kementerian Kewangan (MOF) masih berusaha untuk menyiapkan Bajet 2023 yang akan dibentangkannya Jumaat ini.
Ketika ditemui media, Anwar berkata, beliau terpaksa meninggalkan majlis untuk ke MOF bagi menyiapkan laporan bajet tahun ini.
“Saya bergegas ke pejabat (MOF) untuk siapkannya sekarang,” katanya ketika meninggalkan persidangan antarabangsa Abdulhamid Absulayman: Sumbangan Intelektual dan Reformasi Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini.
Anwar adalah jemputan utama untuk memberikan ucapan pada penutup persidangan tersebut.
Anwar bagaimanapun enggan menerima soalan lain dan bergegas meninggalkan UIA.
Perbentangan Bajet 2023 akan dibuat Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat ini.
Antara fokus Bajet 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat Malaysia.
Untuk rekod, kali terakhir Anwar membentangkan bajet adalah pada 1997 iaitu perbentangan Bajet 1998.
Ketika itu, Anwar mengemukakan peruntukan sebanyak RM64.127 bilion dengan RM45,633 bilion daripadanya adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM18.491 bilion pula bagi pembangunan. – MalaysiaGazette